LAPORAN Portal Berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN Portal Berita Harian Metro, semalam.
Amniera Naziera Amran


PELAJAR yang terbabit pergaduhan di jalan raya berdekatan Harbour Square, Sandakan, sehingga videonya tular di media sosial, Isnin lalu, akan diarah menjalani sesi kaunseling.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata, ia susulan siasatan polis yang mengenal pasti semua pelajar yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Selain itu, pentadbiran sekolah akan mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar itu selepas siasatan polis selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2018 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS), Kota Kinabalu, hari ini.

Maimunah juga menegaskan tindakan gantung sekolah terhadap beberapa pelajar terbabit bukan keutamaan, pada masa ini.

"Pelajar terbabit masih dibenarkan bersekolah, tetapi mereka akan diberi penekanan dalam aspek disiplin," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu mengambil tindakan segera sekiranya kejadian sama berulang.

Menurutnya, PPD tidak perlu menunggu sehingga video kejadian seperti itu menjadi tular sebelum mengambil tindakan susulan.

"Orang awam juga diminta tidak memuat naik video sedemikian sehingga tular, dan menuding jari kepada sesetengah pihak.

"Sebaliknya, mereka perlu cuba meleraikan pertelingkahan (pelajar sekolah) itu," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan video sekumpulan remaja lelaki bergaduh di jalan raya di Sandakan, tular menerusi Facebook.

Susulan kejadian, polis menahan tujuh pelajar berusia antara 15 hingga 17 tahun, semalam yang dipercayai terbabit dengan pergaduhan itu.

Siasatan mendapati pergaduhan dipercayai berpunca akibat salah seorang pelajar yang memuat naik gambar seorang pelajar lelaki dari sekolah lain melalui aplikasi WeChat.

Berlaku ejek-mengejek antara mereka sehingga membawa kepada pergaduhan seperti dalam video berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin dipetik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Berita berkaitan

href="https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/01/308499/sebab-wechat-rupanya">Sebab WeChat rupanya

8 pelajar bergaduh dikenal pasti

'Budak-budak baru nak up' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 2:17 PM