MANGSA maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan  tercampak pada tiang lampu.
MANGSA maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan tercampak pada tiang lampu.
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang anggota tentera maut apabila mangsa tercampak pada tiang lampu selepas motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Tuanku Jaafar Barat, Senawang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa Koperal Mohd Zambri Sijo, 31, dari 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Senawang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Taman Tuanku Jaafar untuk pulang ke kemnya.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal Kawasaki KR150 dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum dia tercampak lalu terkena pada tiang lampu.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa cedera parah pada badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 5:42 AM