YUSNIDAH melayan kerenah Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqilah.
YUSNIDAH melayan kerenah Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqilah.
NUR Firuza Amira (kanan) membetulkan tudung adiknya.
NUR Firuza Amira (kanan) membetulkan tudung adiknya.
Nur Lela Zulkipli


Kuala Lumpur: “Hanya selendang mama dan bantal tidur papa saja yang menjadi tempat kami lepaskan rindu. Kalau rasa macam nak menangis, kami baca al-Fatihah supaya lebih tenang.”

Itu luahan adik-beradik, Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqilah, 5, yang hilang tempat bergantung dan menjadi yatim piatu sekelip mata selepas bapa mereka, Fairuz Nizam Husain, 35, dan ibu, Nova Safitri Azhari, 27, meninggal dunia pada nahas jalan raya, 2 Mei tahun lalu.

Turut meninggal dunia bayi pasangan berkenaan yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa.

Kemalangan jam 1.05 pagi itu dipercayai berpunca daripada enam Perodua Myvi berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa menyebabkannya berpusing sebelum terbalik.

Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqilah yang ditemui di kediaman ibu saudaranya di Taman Batu Muda, di sini, pada awalnya terdiam apabila ditanya sama ada masih teringatkan arwah ibu, bapa dan adik bongsu.

Namun, selepas seketika, Nur Firuza Amira lebih tenang dan bersedia berkongsi perjalanan hidupnya bersama Nur Firuza Aqilah selepas hampir setahun kehilangan insan tersayang.

Menurut Nur Firuza Amira atau lebih mesra dengan panggilan kakak, dia hanya mahukan yang terbaik untuk adiknya supaya boleh meneruskan kehidupan.

“Saya tak nak adik (Nur Firuza Aqilah) sedih macam dulu. Saya percaya arwah mama dan papa berada di tempat lebih baik sekarang.

“Kalau boleh, saya nak cepat-cepat habis sekolah sebab nak bahagiakan adik macam arwah papa dan mama buat dulu,” katanya.

Bagi kanak-kanak berumur lapan tahun, mereka sibuk menikmati keseronokan bersama rakan sebaya, namun tidak bagi Nur Firuza Amira apabila terpaksa berlakon tabah dan kuat di depan adik serta penjaga mereka.

“Banyak pengorbanan daripada Mama Ngah dan Papa Ngah untuk berikan saya dan adik kehidupan lebih baik selepas tragedi.

“Kalau saya terus sedih, ia akan menyukarkan lagi kehidupan Mama Ngah dan Papa Ngah. Saya bersyukur kerana mereka sudi menjaga kami,” katanya.

Sementara itu, Yusnidah Husain, 48, berkata, kerinduan terhadap arwah adik lelaki kesayangannya terubat apabila melihat raut wajah dua beradik itu yang kini berada dalam jagaannya sepenuh masa.

“Tiga hari selepas kemalangan, anak arwah terus ikut saya dan suami pulang ke rumah kerana takut dan keliru apa yang perlu dilakukan.

“Saya tidak kisah sama sekali kerana setiap kali melihat wajah mereka, saya rasakan seperti arwah Fairuz Nizam ada bersama. Kenangan menjaga arwah sejak bayi memang sukar untuk dilupakan kerana saya yang menggantikan tugas ibu ketika itu,” katanya.

Katanya, dia kagum dengan peranan Nur Firuza Amira sebagai kakak yang tegas dan manja kepada adiknya, selain tidak mengabaikan pelajaran.

“Saya tahu Nur Firuza Amira masih menyimpan perasaan sedih terpaksa hidup tanpa ibu dan ayahnya. Tapi, dia terus cekalkan hati dan Alhamdullilah dia mendapat tempat pertama dalam kelas pada akhir tahun lalu,” katanya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan harian.

Katanya, dia membuka akaun bank atas nama dua beradik itu bagi tujuan penyaluran bantuan dan sumbangan iaitu menerusi Bank Islam (12225020256614) bagi Nur Firuza Amira sementara bagi Nur Firuza Aqilah (12225020256600) di bawah bank sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:30 AM