Kereta dipandu pelajar kolej yang maut akibat kemalangan di Jalan Sungai Terap Jorak, Muar.
Kereta dipandu pelajar kolej yang maut akibat kemalangan di Jalan Sungai Terap Jorak, Muar.
Mohamad Fahd Rahmat

PELAJAR Kolej Vokasional Sungai Abong, Muar maut selepas Proton Wira dipandunya gagal memotong dan bertembung dengan bas ekspres dalam kejadian di Jalan Sungai Terap Jorak, Muar, Johor 7.45 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Shahrul Azhar Nazaruddin, 18, maut serta-merta di tempat kejadian manakala pemandu bas berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu kereta disahkan maut oleh pihak ambulans di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas dari arah Bukit Pasir hendak Ke Bandar Muar.

“Apabila melepasi lampu isyarat persimpangan Jorak-Sungai Terap, kereta dipandu mangsa dari arah bertentangan memotong dan masuk ke lorong sebelah kanan namun terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bas berkenaan yang tidak dapat mengelak.

“Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar Muar untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bas berkenaan tidak membawa penumpang manakala hasil ujian saringan alkohol serta dadah pemandu, ia didapati negatif selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 2:19 PM