Norizuan Shamsuddin

JENAZAH ahli perniagaan Azlan Yahya, 47, yang meninggal dunia selepas terjatuh gaung ketika mendaki di Gunung Nuang, Hulu Langat, kelmarin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raidhatul Sakinah Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini.

Anak Sulungnya, Aliff, 17 berkata, urusan pengebumian akan dilakukan secepat mungkin selepas selesai urusan bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang (JPFHS).

Katanya, pihaknya dimaklumkan proses bedah siasat dijangka akan selesai sekurang-kurangnya pada 1 petang sebelum dapat dituntut oleh keluarga.

"Sebaik sahaja mayat dapat dituntut kami akan membawa jenazah ke Masjid Saidina Hamzah Taman Batu Muda bagi urusan mandi dan solat jenazah.

Keluarga ahli perniagaan Azlan Yahya yang maut ketika mendaki gunung Nuang menunggu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang (JPFHS). Gambar Aizuddin Saad.
Keluarga ahli perniagaan Azlan Yahya yang maut ketika mendaki gunung Nuang menunggu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang (JPFHS). Gambar Aizuddin Saad.

"Jenazah dijangka akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, Gombak," katanya ketika ditemui di JPFHS, hari ini.

Dalam kejadian petang kelmarin, Azlan yang mendaki Gunung Nuang bersama rakannya dikatakan tergelincir apabila tanah dipijak runtuh menyebabkan dia terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter.

Mayat bapa kepada tiga anak itu berjaya di bawa keluar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jam 6.05 pagi hari ini selepas usaha dilakukan lebih 41 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 12:52 PM