WAKIL SK Kampong Raja menerima peruntukan tahunan daripada Muhyiddin.
WAKIL SK Kampong Raja menerima peruntukan tahunan daripada Muhyiddin.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Kuala Lumpur: Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang tidak dapat mengekalkan kedudukan mereka serta merosot dalam tempoh tiga tahun berturut-turut statusnya boleh ditarik balik atau dikeluarkan daripada kategori berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pendidikan akan memantau kedudukan SBT menerusi keputusan atau pentaksiran peperiksaan awam serta Laporan Nazir yang mengandungi isu berbangkit atau permasalahan.

Justeru beliau berkata, menjadi tanggungjawab kepemimpinan sekolah iaitu pengetua, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berusaha gigih untuk mempertahan seterusnya meningkatkan kecemerlangan sekolah merangkumi aspek akademik, kokurikulum, sahsiah, pengurusan dan kewangan.

“Saya lihat ada satu dua sekolah apabila kita buat penilaian, kita dapati mereka tidak mampu mengekalkan kedudukan itu, tetapi tidak mengapa. Kita masih meletakkan mereka sebagai SBT.

“Apa yang penting ialah sekolah itu melakukan penambahbaikan dan intervensi supaya tidak menghadapi masalah dan ini menjadi tanggungjawab kepemimpinan sekolah, pengetua, PIBG, pelajar untuk berusaha keras mengekalkan kedudukan dan prestasi.

“Namun jika terus merosot dua atau tiga tahun berturut-turut, kita terpaksa keluarkan mereka dari kategori SBT,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengiktirafan SBT Kohort 5 di sini, semalam.

Pada majlis itu, 13 sekolah dari seluruh negara membabitkan sembilan sekolah kebangsaan dan empat sekolah menengah dipilih sebagai SBT di bawah Kohort 5.

Sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Air Merah, Kedah; SK Seri Wakaf Baharu, Kelantan; SK Kubang Kerian 3, Kelantan; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil

(SJKT) Ringlet, Pahang; SK Lingga Baru, Sabah; SK Saujana Impian, Selangor; SK Kampong Raja, Terengganu dan SK Putrajaya Presint 9 (2) Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sekolah menengah pula membabitkan Sekolah Menengah (SM) Sains Rembau, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Pahang; SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang dan SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang.

Melalui pengiktirafan berkenaan, setiap sekolah menerima peruntukan tahunan dengan tahun pertama berjumlah RM700,000; tahun kedua (RM500,000) dan tahun ketiga (RM300,000).

Malah pengetua atau guru besar serta semua guru dan anggota kumpulan pelaksana menerima bayaran insentif dengan sekali bayaran RM1,000 bagi sekolah menengah dan RM700 untuk sekolah rendah.

Sehingga hari ini terdapat 128 SBT iaitu masing-masing 64 SMK dan SK sejak diperkenalkan lima tahun lalu.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kementerian tidak pernah menyekat jumlah sekolah yang layak diberi status SBT walaupun sasaran tahunan sebanyak 10 SBT.

“Kementerian juga tidak mempunyai masalah untuk memberi peruntukan kepada sekolah yang dipilih sebagai SBT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:08 AM