Hamzah Osman


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot penambang dan lima bot pelancong dipercayai beroperasi tanpa nombor pendaftaran dan dokumen sah dalam Ops Bersepadu selama dua hari yang berakhir di Langkawi, semalam.

Operasi yang turut disertai Jabatan Laut Malaysia (JLM) menggunakan kapal dan dua bot peronda itu memfokuskan kawasan tumpuan utama pelancong di perairan Pulau Langkawi.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim (DM) 1 Langkawi, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, operasi bersepadu itu bertujuan membanteras operasi bot pelancong tanpa lesen sah dan perlindungan insurans di sekitar Pulau Langkawi.

"Susulan itu sebuah bot tambang yang dalam perjalanannya membawa penumpang dari Pulau Tuba ke Jeti Marble di Kuah, Langkawi ditahan pada hari pertama operasi.

"Pemeriksaan awal mendapati bot itu tidak memiliki nombor pendaftaran dan dokumen sah untuk beroperasi membawa penumpang," katanya menerusi kenyataan hari ini.

SEBAHAGIAN lima bot pelancong yang ditahan dalam Ops Bersepadu membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia di perairan Langkawi, semalam. Gambar Ihsan APMM
SEBAHAGIAN lima bot pelancong yang ditahan dalam Ops Bersepadu membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia di perairan Langkawi, semalam. Gambar Ihsan APMM

Nurulazme berkata, operasi pada hari kedua pula membawa kepada penahanan lima bot pelancong kerana kesalahan sama.

"Bot-bot terbabit ditahan atas kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen sah dari JLM serta tiada perlindungan insurans.

"Semua bot itu kemudian dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya dan JLM menyeru semua pengusaha bot penambang dan bot pelancong khususnya di sekitar Pulau Langkawi mendaftar lesen bot masing-masing serta memastikan juragan memiliki sijil kompetenan yang sah.

"Aspek keselamatan ini harus diambil berat supaya insiden di laut dapat dielakkan, sekali gus memelihara industri pelancongan untuk terus berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 9:14 PM