BOT bilis yang terbakar di perairan Pulau Buyong, Langkawi. FOTO Ihsan Polis
BOT bilis yang terbakar di perairan Pulau Buyong, Langkawi. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 24 kru berdepan detik cemas selepas sebuah bot pukat bilis dinaiki mereka terbakar di perairan Pulau Buyong di sini, malam tadi.

Pada kejadian 7.30 malam itu, semua kru terbabit diselamatkan oleh bot-bot dan nelayan lain yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tiada mangsa yang mengalami kecederaan serius.

"Maklumat kebakaran bot KH 455 disalurkan oleh Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi.

"PPM turut memaklumkan kejadian sama kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan," katanya dalam kenyataan di sini.

Shariman berkata, kesemua 24 kru termasuk tekong yang berjaya diselamatkan itu dibawa balik oleh PPM ke pangkalan di Bukit Malut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 8:26 AM