Kavikumar mengaku bersalah atas dua pertuduhan rasuah dihadapinya. FOTO Zaman Huri Isa
Kavikumar mengaku bersalah atas dua pertuduhan rasuah dihadapinya. FOTO Zaman Huri Isa
Maiamalina Mohamed Amin


MAHKAMAH Sesyen, Kota Bharu, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda keseluruhan RM125,000 ke atas bekas inspektor polis atas dua tuduhan meminta rasuah, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, P Kavikumar, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit sebaik dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah menetapkan penjara enam bulan dan denda RM50,000 bagi pertuduhan pertama manakala penjara enam bulan dan denda RM75,000 bagi pertuduhan kedua.

Hukuman penjara bermula hari ini dan tertuduh boleh dikenakan penjara masing-masing lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Kavikumar yang ketika itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan didakwa cuba memperoleh untuk diri sendiri suapan wang tunai bernilai RM10,000 daripada Mahadi Mohamad Nor sebagai dorongan untuk tidak menangkap lelaki itu yang memiliki kenderaan jenis Mitsubishi Pajero disyaki kenderaan curi.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lot 421, Kampung Banggol Ubi Keling, Gual Periuk, Rantau Panjang pada 5.30 petang, 24 November 2015 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika ia berbentuk wang atau RM10,000 atau mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya sendiri iaitu wang tunai RM15,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan menangkap lelaki itu kerana memiliki kenderaan curi di tempat sama pada 5 petang, 22 November 2015.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syaerah Meor.

Pada 6 November lalu, tertuduh dihukum penjara selama tiga tahun dan denda RM15,000 oleh mahkamah sama selepas didapati bersalah menerima rasuah bernilai RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 4:25 PM