Kereta yang digunakan untuk berlumba. FOTO ihsan polis
Kereta yang digunakan untuk berlumba. FOTO ihsan polis
Suzalina Halid


AKIBAT memandu secara berbahaya, dua lelaki dicekup polis dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan awal pagi hari ini di sekitar Alor Setar.

Mereka yang berusia 28 dan 22 tahun itu ditahan kira-kira 2 pagi di hadapan Hong Leong Bank Jalan Pegawai, berikutan berlumba antara satu sama lain.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bersama anggota trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diadakan bermula 12 tengah malam hingga 5 pagi.

"Melalui operasi itu, polis mengesan dua Proton Iriz sedang berlumba dari lampu isyarat Masjid Al-Ghufran ke lampu isyarat Bunga Tanjung, Alor Setar sebanyak tiga pusingan.

"Selepas tiga pusingan, kedua-dua pemandu itu ditahan anggota polis sebelum kenderaan dan pemandu dibawa ke Balai Trafik Kota Setar untuk siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, kedua-dua lelaki itu direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000 serta penjara sehingga dua tahun dan lesen digantung dua tahun.

Katanya, melalui operasi sama juga, polis mengesan 15 kesalahan trafik dengan 14 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 7:31 PM