HM Digital

Marang: Lazimnya ketika musim tengkujuh dan keadaan laut bergelora, golongan nelayan tidak turun ke laut kerana bimbang mendatangkan mudarat kepada diri atau lebih parah, hilang nyawa.

Lain pula halnya bagi sekumpulan nelayan ‘hati kering’ yang bukan saja tidak kisah dan berani menempuh ombak besar, malah mengakui gembira berbuat demikian.

Bagi tekong dan pemilik bot Mohd Shukri Abd Rahman, 30, dari Rusila, dia seronok turun ke laut untuk menangkap ikan ketika laut bergelora kerana selain menggemari aktiviti mencabar dan berbahaya, ombak besar menjanjikan ikan yang banyak berbanding hari biasa.

“Ombak besar bukan alasan untuk tidak ke laut dan bagi saya serta beberapa rakan yang sukakan aktiviti mencabar, kepuasannya seperti naik roller coaster.

“Tambahan pula ketika musim ombak besar banyak ikan terutama jenis yang bermain di celah batu karang contohnya kerapu.

“Bagaimanapun bukan dalam semua keadaan kami redah. Sekiranya ramalan cuaca menjangkakan ombak lebih tiga meter atau angin terlalu kuat, kami tidak turun ke laut,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Shukri  menunjukkan ikan yang ditangkap.
Mohd Shukri menunjukkan ikan yang ditangkap.

Mohd Shukri yang lebih mesra disapa Zargus berkata, dia pernah menempuh ombak setinggi 2.8 meter tahun lalu menyebabkan bot gentian kaca dinaiki terjongket lebih 45 darjah.

“Biasanya kami turun jam 6.30 pagi dan pulang tengah hari, bergantung kepada sasaran atau jenis tangkapan,” katanya.

Mengenai keselamatan, Mohd Shukri biasanya melihat laporan keadaan cuaca terlebih dulu selain memastikan anak buahnya memakai jaket keselamatan sepanjang perjalanan.

“Kami juga mempunyai kemahiran berkaitan laut antaranya berenang dan menyelam,” katanya yang berkecimpung dalam bidang itu secara serius sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, selain menjadi nelayan, dia juga kontraktor selain menggemari aktiviti menyelam serta meluncur ombak.

Mohd Shukri (tengah) membawa bot untuk mencari ikan.
Mohd Shukri (tengah) membawa bot untuk mencari ikan.

“Nelayan pekerjaan kedua saya selepas kontraktor dan biasanya saya turun ke laut sekiranya tiada projek yang perlu disiapkan di darat.

“Saya juga aktif menyelam dan sering dipanggil dalam operasi menyelamat sekiranya ada kes nelayan hilang di laut.

“Pendek kata, laut memang sudah sebati dengan hidup saya, malah jika diikutkan, sejak darjah empat saya dah ikut atuk ke laut,” katanya.

Katanya, dia sudi mengajar sekiranya ada yang ingin mencuba aktiviti menangkap ikan ketika laut bergelora.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 11:16 AM