ISMA menyiram air mawar di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Mengkali.
ISMA menyiram air mawar di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Mengkali.
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Ibu kepada Ketua Biro Harian Metro Terengganu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, semalam akibat penyakit paru-paru kronik.

Allahyarham Che Isah @ Che Mariam Che Mamat, 69, menghembuskan nafas terakhir di sisi Isma Yusmey Ismail, 41, dan ahli keluarga lain jam 9.45 pagi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Mengkali, Peringat petang semalam.

Allahyarham Che Isah meninggalkan suami, Ismail Yusof, 70, tiga anak dan enam cucu.

Isma Yusmey berkata, arwah ibunya dikesan menghidap penyakit paru-paru itu pada 2001 dan sering membuat pemeriksaan kesihatan di hospital.

Pada Jun lalu, ibunya dimasukkan ke HRPZ II untuk rawatan sebelum dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun, Jumaat lalu emak sekali lagi dimasukkan ke HRPZ II berikutan keadaan penyakitnya yang semakin membimbangkan.

“Saya menerima panggilan malam tadi (kelmarin) daripada keluarga yang memaklumkan emak tenat dan bergegas pulang ke Kota Bharu, berikutan menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur dua hari lalu.

“Hari ini (semalam) jam 9.45 pagi, emak menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HRPZ II di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:12 AM