ANGGOTA polis membuat sekatan jalan raya di  sekitar pusat bandar Shah Alam, semalam.
ANGGOTA polis membuat sekatan jalan raya di sekitar pusat bandar Shah Alam, semalam.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Sekumpulan mat rempit yang menjadikan cuti sekolah untuk berpeleseran di sekitar pusat bandar raya ini ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, Op Samseng Jalanan yang turut disertai anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu dijalankan di Persiaran Perbandaran dan Persiaran Masjid di sini, kerana kerap dijadikan tempat mat rempit berkumpul.

Menurutnya, seramai 17 remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun ditahan dan operasi terbabit adalah kali kedua di lokasi sama selepas minggu lalu.

“Sebanyak 132 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan tiada lesen memandu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 65 saman sepanjang operasi bermula dari jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi (semalam).

“Selain itu, kesalahan lain dikesan termasuk cukai jalan tamat tempoh, nombor plat tidak mengikut spesifikasi dan tiada cermin sisi,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 61 motosikal, sebuah van dan sebuah kereta turut disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 11:16 AM