ANTARA motosikal yang disita polis dalam operasi cegah lumba haram, semalam.
ANTARA motosikal yang disita polis dalam operasi cegah lumba haram, semalam.
Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

Kuantan: Sekumpulan mat rempit yang tidak menghormati Ramadan apabila menyertai lumba haram ketika umat Islam menunaikan solat Tarawih di Kampung Pandan, di sini, ditahan polis, kelmarin.

Mereka diserbu anggota polis dalam satu operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Dalam operasi bermula jam 9 hingga 12 tengah malam itu, polis turut menyita 12 motosikal yang diubah suai dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram.

Operasi itu diketuai Pegawai Turus Penguat kuasa JSPT Pahang Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad bersama 15 anggota sambil dibantu lapan anggota JSPT Balai Polis Trafik Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis menahan 50 mat rempit serta motosikal masing-masing yang disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram.

“Kami menyita 12 motosikal kerana ia diubah suai di bahagian ekzos sehingga menyebabkan gangguan ketenteraman awam, selain menghalang lalu lintas.

“Hasil pemeriksaan, kami mengeluarkan 35 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu, mempamerkan cukai jalan tamat tempoh, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak menampal pelekat P dan L serta tiada cermin sisi,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan dua remaja bawah umur kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu sebelum menghubungi ahli keluarganya untuk memaklumkan tangkapan itu.

Katanya, polis akan meneruskan operasi sama setiap hujung minggu bagi membanteras kegiatan lumba haram sepanjang Ramadan, selain meminta ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 4:53 AM