Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias menunjukkan barangan milik penjenayah yang dirampas.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias menunjukkan barangan milik penjenayah yang dirampas.
Amirul Aiman Hamsuddin

DUA individu yang terbabit kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Kuala Selangor.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja kedai serbaneka 24 jam di Jalan Peria, Sekinchan memaklumkan dia disamun dua lelaki memakai topeng dan salah seorang daripadanya bersenjatakan pisau pada 17 Februari lalu.

"Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, pekerja kedai serbaneka itu sedang berurusan di kaunter hadapan sebelum dua lelaki bersenjatakan pisau masuk ke dalam premis.

"Suspek kemudian masuk ke dalam kaunter pembayaran dan melarikan wang tunai dalam mesin kira-kira wang dan laci di kaunter selain rokok," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, tadi.

Agus Salim berkata, hasil laporan itu, pihaknya membuat dua serbuan di Kuala Selangor pada Rabu lalu dan menahan dua suspek berusia 21 dan 24 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek berusia 21 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau manakala suspek berusia 24 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk narkotik.

"Malah, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 3:41 PM