PADILAH (belakang baju hijau)  bersama pemenang pertandingan  Teater Pendek Kanak-Kanak yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.
PADILAH (belakang baju hijau) bersama pemenang pertandingan Teater Pendek Kanak-Kanak yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Kuala Lumpur: “Kami dapat belajar sejarah di samping dapat mempraktikkan bahasa kebangsaan dengan cara yang menyeronokkan selain dapat merasai seketika keadaan pada zaman dulu,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Puteri, Farah Alisya Azza Haslija, 12.

Pertandingan Teater Pendek Kanak-Kanak yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkenaan menyaksikan SK Bandar Tasik Puteri yang mempersembahkan teater berjudul Fantasia menjadi juara dan membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 dan sijil penyertaan.

Guru pembimbing kelab teater sekolah itu, Mohd Izman Saroni berkata, teater yang terinspirasi secara spontan itu diadaptasi melalui filem sejarah negara, Bukit Kepong.

“Saya sukakan cerita yang berkaitan sejarah, jadi saya berpendapat melalui cerita berkenaan banyak sudut yang boleh digarap untuk menjadikan ceritanya lebih menarik untuk dikongsi dengan masyarakat di luar sana.

“Masyarakat selalu menganggap sejarah sesuatu yang membosankan, tetapi jika tepat pada penyampaiannya ia boleh menarik masyarakat untuk lebih menghargai sejarah,” katanya yang ditemui media selepas program itu, di sini, semalam.

SEDUTAN babak yang dipertontonkan dalam teater pendek kanak-kanak.
SEDUTAN babak yang dipertontonkan dalam teater pendek kanak-kanak.

Sementara itu, Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Padilah Ali berkata, terdapat pelbagai medium yang boleh digunakan untuk menarik minat kanak-kanak dalam sesuatu perkara.

“Pelajaran tidak seharusnya tertumpu kepada buku teks saja, tetapi juga boleh diterapkan melalui medium lain, salah satunya melalui program seperti ini yang menekankan aspek seni persembahan dengan menggunakan bahasa kebangsaan.

“Kaedah pendidikan melalui hiburan secara tidak langsung boleh membantu kanak-kanak untuk senang mengingat mengenai sesuatu selain dapat memberikan kesedaran yang mendalam mengenainya,” katanya.

Selain itu, SK Simpang dan SK Temoh dari Perak masing-masing menjadi naib johan dan tempat ketiga yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM700 berserta sijil penyertaan.

Program yang diadakan sempena Bulan Bahasa yang berlangsung Oktober lalu itu turut disertai agensi luar seperti Kelab Sahabat Agensi Penguatkuasaan Wilayah Persekutuan dan Alam Flora Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:34 AM