FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menumpaskan Geng Harrier dengan penahanan tujuh lelaki di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya, Selangor serta Perak, Ahad lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata hasil maklumat diterima, pihaknya menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an, di Damansara Perdana, Petaling Jaya kira-kira 9 malam.

“Penahanan dua lelaki itu membawa kepada tangkapan lima lelaki berusia antara 20-30 tahun, di Subang Jaya, dan Perak dalam serbuan berasingan beberapa hari kemudian.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas sembilan kenderaan dipercayai hasil samun geng itu yang dikenal pasti terbabit dengan 10 kes di Petaling Jaya, (2) Subang Jaya dan (1) Klang Selatan, Selangor selain (4) Negeri Sembilan serta (8) Johor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Mohd Zani berkata, kejadian samun pertama pada 18 Oktober lalu, apabila dua lelaki menaiki motosikal melarikan kenderaan Toyota Harrier di Kelana Jaya.

“Modus operandi geng ini adalah melanggar kenderaan daripada belakang supaya mangsa keluar sebelum diugut dicederakan dengan parang dan merampas kenderaan itu.

“Kes terakhir dikesan dilakukan geng berkenaan adalah pada 30 Oktober lalu.

“Geng itu melarikan Perodua Bezza di Kelana Jaya. Namun, kereta itu ditemui ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh daripada lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, semua suspek direman sehingga 22 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 1:19 PM