Rosman Shamsudin


Tindakan sepasang warga emas tidak mengunci pintu pagar rumah mereka, membawa padah apabila kediaman mereka di Taman Happy Garden, Tanjung Malim dimasuki dua penyamun bersenjatakan parang 1.30 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian pasangan itu sedang berehat di ruang tamu rumah.

Beliau berkata, tiba-tiba dua lelaki bertopi keledar dengan bersenjatakan parang membuka pintu rumah menuju ke arah mereka dan mengacukan parang.

"Suspek berusia 30-an merampas dua telefon bimbit dan komputer riba milik mangsa.

"Ketika kejadian, anak mangsa tiada di rumah dan selepas mencuri suspek melarikan diri dengan motosikal.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan, namun trauma selepas kejadian itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah sempena Kejohanan Badminton Piala Ketua Polis Daerah Muallim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, di sini.

Wan Kamarul Azran berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengambil langkah keselamatan supaya sentiasa mengunci pintu rumah bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 10:11 PM