Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan sekitar Seremban dilanda banjir kilat Jumaat lalu. - Foto Fail
Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan sekitar Seremban dilanda banjir kilat Jumaat lalu. - Foto Fail
BERNAMA

BANJIR kilat yang melanda Seremban Jumaat lalu, berpunca daripada longkang dan parit tersumbat hingga tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hujan lebat selama dua jam menyebabkan banjir kilat di Seremban kerana longkang dan parit dipenuhi sampah sarap sehingga menyebabkan ia tersumbat.

"Saya selalu mohon kerjasama masyarakat tidak membuang sampah hingga menyebabkan longkang tersumbat dan sepatutnya, kita ambil inisiatif membersihkannya, bukan membuang segala sampah ke dalam parit atau longkang begitu sahaja.

"Jika longkang dan parit tidak tersumbat, besar kemungkinan banjir kilat tidak akan berlaku kerana di bawah stesen kereta api Seremban, parit dan longkang semua kering cuma tersangkut dekat Jalan Lee Sam dan terminal bas," katanya selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 di Labu, Nilai, hari ini.

Mohamad berkata masyarakat juga tidak boleh mengharapkan Majlis Perbandaran Seremban semata-mata atau pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkan longkang atau sungai kerana ia tanggungjawab bersama.

“Saya harap kejadian ini akan diambil berat oleh semua orang demi kebaikan bersama kerana kerajaan negeri telah berbelanja besar untuk memperbaiki sistem tebatan banjir dengan membesarkan longkang dan parit.

"Sejak 2012, tidak pernah berlaku banjir di Seremban namun kebelakangan ini bermula balik,” katanya.

Jumaat lalu, beberapa kawasan di Seremban terjejas termasuk tingkat bawah stesen bas dan pusat beli-belah Terminal One, Jalan Tuanku Munawir, Taman Sri Pulasan, Jalan Labu, Taman Jasper dan Taman Mutiara Galla 11.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:58 PM