PEKERJA Alam Flora melakukan kerja pembersihan parit di Jalan Ampang (berhampiran Air Terjun Bukit Nanas), iaitu salah satu lokasi panas banjir di Kuala Lumpur.
PEKERJA Alam Flora melakukan kerja pembersihan parit di Jalan Ampang (berhampiran Air Terjun Bukit Nanas), iaitu salah satu lokasi panas banjir di Kuala Lumpur.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Alam Flora dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti 15 lokasi panas banjir di Kuala Lumpur.

Lokasi terbabit ialah Jalan Brunei/Jalan Pudu, Jalan Changkat Thambi Dollah, Jalan Sultan Azlan Shah (hadapan Balai Polis Batu 3), Jalan Cheras, Jalan Maharajalela (Stesen Monorel), Jalan Pintasan Segambut, Jalan Wirawati dan Jalan Pudu. Selain itu adalah Jalan Ampang (Air Terjun Bukit Nanas), Dataran Merdeka (hadapan gereja), Lebuh Ampang (dan sekitarnya), Jalan Segambut (hadapan sekolah memandu), Jalan Tun Sambathan Brickfields, Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen dan sekitaranya serta Jalan Chan Sow Lin.

Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Azahari Zainal Abidin berkata, Alam Flora akan menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang di kawasan berkenaan dengan lebih kerap, iaitu dua kali sebulan berbanding sekali sebulan sebelum ini.

Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk mengelakkan kawasan terbabit mengalami banjir yang lebih buruk.

"Kerja-kerja ini dilakukan sejak awal Disember dan diteruskan selama tiga bulan sehingga Mac depan.

"Keputusan untuk meningkatkan kekerapan kerja-kerja pembersihan longkang, diputuskan selepas perbincangan bersama dengan DBKL dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan di Jalan Ampang (berhampiran Air Terjun Bukit Nanas), iaitu salah satu lokasi panas banjir di Kuala Lumpur.

"Lokasi panas banjir di Jalan Ampang ini adalah tumpuan kami kerana sering dilanda banjir kilat, setiap kali hujan lebat dalam tempoh dua hingga tiga jam.

"Banjir di kawasan ini berpunca daripada saliran longkang tersumbat dengan sampah sarap dan lumpur tanah runtuh pada tebing tinggi Bukit Nanas yang menghalang pengaliran air hujan ke saliran utama.

"Ini menyebabkan air hujan melimpah ke atas jalan raya setinggi 0.5 meter," katanya.

Azahari berkata, Alam Flora dan DBKL turut meninjau di 15 lokasi panas banjir serta mencadangkan penambahbaikan daripada segi insfrastruktur.

"Longkang di 15 lokasi panas banjir akan dinaiktaraf kerana ada yang sudah rosak dan tersumbat kerana sudah terlalu lama. Ini untuk mengelakkan berlakunya banjir kilat serta menghalang limpahan air hujan ke jalan raya.

"Setakat ini kita ada sebuah pasukan khas, terdiri daripada 5 petugas yang ditugaskan melakukan kerja-kerja pembersihan longkang secara berkala di 15 kawasan panas banjir.

"Peralatan digunakan seperti mesin penyedut untuk menyedut sampah dan sisa runtuhan tanah yang terperangkap di dalam longkang serta alat pencuci 'water jet'," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu dan meminta pihak berkuasa supaya dapat membaiki kawasan cerun di sekitar Jalan Ampang serta Bukit Nanas yang mengalami hakisan sejak beberapa tahun lalu.

"Tanpa tindakan ini (membaiki kawasan cerun) masalah banjir kilat tidak akan dapat diatasi.

"Selain itu, cerun yang mengalami hakisan juga merbahaya kepada pengguna jalanraya di Jalan Ampang," katanya.

Katanya, selain faktor geologi (hakisan cerun Bukit Nanas), beliau menyeru masyarakat supaya lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata.

"Usaha mengatasi banjir tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama di antara masyarakat dengan agensi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 7:01 AM