BOT nelayan tempatan kelas B yang ditahan APMM.
BOT nelayan tempatan kelas B yang ditahan APMM.
HM Digital

Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B berikutan menangkap ikan di luar zon dibenarkan di perairan Sekinchan, kelmarin.

Bot berkenaan ditahan pada kedudukan 5.2 batu nautika dari perairan terbabit kira-kira jam 8.15 pagi.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, bot itu ditahan ketika pihaknya menjalankan operasi harian di sekitar perairan berkenaan.

“Pemeriksaan kami mendapati bot itu melanggar zon penangkapan ikan yang ditetapkan kerana menangkap ikan pada kedudukan bawah lapan batu nautika dari daratan perairan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, empat lelaki warga asing berusia 22 hingga 33 tahun di dalam bot itu ditahan.

“Semua hasil tangkapan, bot serta empat lelaki itu dibawa ke jeti Daerah Maritim 4 di sini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan melanggar syarat dalam lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 9:00 AM