BOT yang dirampas. FOTO ihsan APMM
BOT yang dirampas. FOTO ihsan APMM
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Pelabuhan Klang: Empat lelaki warga Indonesia ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang di sekitar perairan Kuala Selangor, semalam kerana bekerja sebagai nelayan tanpa kebenaran dari pihak berkuasa negara ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, warga asing berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan pada dua bot nelayan di perairan berkenaan.

Menurutnya, bot pertama ditahan kira-kira 11 pagi semalam dan bot kedua pula ditahan 9.30 malam hari yang sama ketika sedang menangkap ikan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati warga asing terbabit tidak mempunyai pasport dan digajikan majikannya tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1965/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 12:08 PM