Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) pada September lalu dalam usaha mentransformasikan industri pembinaan dalam semua aspek termasuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan di tapak binaan sebanyak 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada ketika ini, tapak binaan adalah perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dalam usaha mencapai transformasi itu bukan sahaja daripada aspek kecederaan dan kematian malah persekitaran membabitkan kebersihan dan keselamatan kerana ia memberi kesan kepada pekerja serta penduduk.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKLP) sehingga Ogos lalu, tapak binaan adalah lokasi kedua tertinggi positif dalam pembiakan aedes di Kuala Lumpur yang mana 76 peratus daripada 233 tapak binaan didapati positif pembiakan aedes dengan 26 tapak binaan diambil tindakan penutupan dan pendakwaaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975) selain 17 tapak binaan ditutup, 17 (tindakan pendakwaan), 15 (kompaun), 27 (diberi notis arahan pembersihan) dan satu tapak binaan (notis amaran).

1,361 tapak binaan diperiksa di seluruh Malaysia semasa beberapa siri operasi yang dijalankan sepanjang 2016 di mana daripada jumlah itu, 266 (20 peratus) tapak binaan didapati positif pembiakan aedes di mana 35 tapak binaan diambil tindakan penutupan di bawah APSPP 1975, 117 (tindakan pendakwaan), 135 (kompaun), 204 (notis arahan pembersihan) dan 24 tapak binaan (notis amaran).

Menyedari situasi itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menjalinkan kerjasama dengan JKWPKL dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif dalam mewujudkan satu program dikenali COMBI Tapak Bina bagi memastikan tapak binaan tidak menjadi sebagai penyumbang utama kepada kes aedes di Kuala Lumpur.

Pengarah CIDB Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Razuki Ibrahim berkata, program COMBI atau Communication for Behavioural Impact (COMBI) Tapak Bina bermatlamat mewujud dan mengukuhkan tingkah laku ke arah Tapak Bina Bebas Aedes serta mewujudkan tanggungjawab bersama di antara sektor kerajaan dan kontraktor untuk menangani isu denggi di tapak binaan.

“CIDB berperanan menyediakan senarai tapak bina aktif di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, mengumpul dan menghantar Laporan Kendiri yang dibekalkan JKWPKLP untuk dilengkapkan kontraktor yang menyertai Program COMBI ke JKWP& Putrajaya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, program itu tercetus ekoran daripada hasil pemeriksaan dan pemantauan bersama CIDB dan JKWPKL di tapak binaan yang mendapati kontraktor dan pekerja tapak binaan tidak mengambil berat mengenai persekitaran dan kurang kerjasama daripada pekerja sehingga membiarkan tapak binaan kotor sekali gus menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan pembiakan aedes di tapak binaan serta kes denggi di Kuala Lumpur.

“Untuk permulaan, CIDB hanya akan melaksanakan program ini di Kuala Lumpur dan Putrajaya terlebih dahulu.

Mengulas maklum balas daripada kontraktor, Razuki berkata program itu diterima baik kerana dapat membantu dalam mewujudkan persekitaran kerja yang bersih dan selamat.

Menurutnya, 33 tapak binaan bersetuju menyertai program itu sehingga Julai lalu dan dijangka lebih banyak syarikat/tapak binaan menyertai program ini apabila kempen agresif bakal dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

“Terdapat beberapa inisiatif diberikan kepada kontraktor yang turut serta dalam Program COMBI ini seperti pemberian 30 mata bagi Program Pembangunan Kontraktor Secara Berterusan (CCD) bagi kontraktor mengikuti program ini sehingga tamat dan 10 mata CCD bagi pekerja binaan yang hadir dengan seminar berkaitan COMBI,” katanya.

CCD sebuah program dibangunkan CIDB bagi meningkatkan pengetahuan dan pembabitan kontraktor dalam aktiviti industri pembinaan di mana mata CCD diperlukan bagi pembaharuan pendaftaran kontraktor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:06 AM