HISHAMMUDDIN (kanan) bersama Azemi melawat Bangunan Memorial Tun Hussein Onn.
HISHAMMUDDIN (kanan) bersama Azemi melawat Bangunan Memorial Tun Hussein Onn.
HM Digital

Kuala Lumpur: Perjuangan Allahyarham Tun Hussein Onn yang sentiasa meletakkan tiga perkara ketika era kepemimpinannya terus relevan membentuk negara dalam zaman serba moden hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perjuangan ayahandanya sentiasa berlandaskan komitmen dan dedikasi menjadi teras kejayaan negara bangsa dan meletakkan kedudukan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa.

“Saya teringat pesanannya dalam memimpin masyarakat berbilang kaum iaitu mengutamakan kepentingan negara secara keseluruhannya dan bukan segelintir pihak berkepentingan.

“Semangat dan nilai beginilah yang perlu kita contohi dan terus kekal relevan dalam membangunkan Malaysia ke arah negara maju, inklusif dan berdaya saing seiring aspirasi Transformasi Negara 2050 (TN50),” katanya selepas Majlis Penyerahan Bangunan Memorial Tun Hussein Onn anjuran Arkib Negara, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad Datuk Azmir Merican.

Hishammuddin berkata, bahan pameran di Bangunan Memorial Tun Hussein Onn itu disifatkan hadiah tidak ternilai yang menyentuh hatinya sekeluarga.

“Betapa sayunya hati melihat kembali barang peribadi miliknya daripada briefcase kerja hinggalah koleksi alat tulis seperti pen dan pembaris yang digunakan untuk menelaah dokumen rasmi kerajaan ketika itu,” katanya.

Bangunan Memorial Tun Hussein Onn menyimpan pelbagai koleksi barangan serta gambar Perdana Menteri Ketiga bermula dari 1976 hingga 1981.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:33 AM