Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang (kiri) bersama Duta Besar Republik Korea ke Malaysia Yeo Seung-Bae (dua, kiri) melawat ruang Pameran 40 Tahun Dasar Pandang Ke Timur: Malaysia dan Republik Korea di Dewan Memorial Tun Hussein Onn hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang (kiri) bersama Duta Besar Republik Korea ke Malaysia Yeo Seung-Bae (dua, kiri) melawat ruang Pameran 40 Tahun Dasar Pandang Ke Timur: Malaysia dan Republik Korea di Dewan Memorial Tun Hussein Onn hari ini. FOTO BERNAMA
Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia bekerjasama dengan Kedutaan Republik Korea mengadakan pameran sempena ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kerjasama antara dua negara ini diharap dapat menyebarluaskan peranan dalam mengukuhkan sumber sejarah dan budaya negara menerusi program dokumentasi dan advokasi.

Menurutnya, program bersifat interaktif dan interaksi secara dua hala dan diharap dapat memberi impak positif kepada generasi muda.

"Kerjasama dua hala ini penting dalam meningkatkan kerjasama serantau dan perkongsian ekonomi ini diharap akan berterusan sehingga melonjak ke tahap yang lebih tinggi dan diteruskan pada masa akan datang.

"Pameran ini akan memberikan inisiatif berterusan dan mengiktiraf program intelektual yang berpotensi menjadi platform kedua negara ini.

"Ini dapat memupuk perpaduan masyarakat, mengukuhkan permuafakatan, dan memelihara tradisi budaya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran 40 Tahun Dasar Pandang Ke Timur Malaysia-Republik Korea di sini hari ini.

Turut hadir Duta Republik Korea ke Malaysia Yeo Seung-Bae.

Menurutnya, ketika ini terdapat sebanyak 1270 koleksi rekod dan dokumen berkaitan Korea di Arkib Negara Malaysia.

"Pameran ini menampilkan pelbagai bahan rujukan, kajian dan penyelidikan mengenai perkembangan hubungan antara kedua-dua negara.

"Keunikan koleksi bahan Dasar Pandang ke Timur dan gambaran perjalanan pelaksanaan bersama Republik Korea adalah tarikan utama," katanya.

Tambah beliau lagi, Malaysia mempunyai hubungan yang kukuh dan stabil dengan Korea dengan Dasar Pandang ke Timur antara kedua-dua negara kekal relevan.

"Saya berharap untuk menyaksikan lebih banyak perkongsian ekonomi yang berjaya dan berkekalan antara Malaysia dan Korea Selatan.

"Menerusi komitmen kedua-dua pihak, saya yakin Malaysia-Korea mampu meningkat ke tahap lebih tinggi," katanya.

Pameran itu berlangsung tiga hari bermula hari ini di Memorial Tun Hussein Onn hingga 26 Oktober, dan seterusnya selama selama sebulan di Arkib Negara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 1:42 AM