Meor Riduwan Meor Ahmad


DUA Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, masing-masing atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang nelayan Jun tahun lalu serta bersubahat atas kesalahan itu.

Tertuduh, Khairul Paizi Ahmad, 49, dan Hizir Said, 43, yang bertugas di JKDM Marin, Kuala Perlis yang dituduh secara berasingan memohon supaya dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Rusita Md Lazim.

Mengikut pertuduhan, Khairul Paizi didakwa meminta suapan RM3,000 daripada Mohd Anizal Abdul Kasli, 46, melalui satu khidmat pesanan ringkas sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang boleh menyebabkan bot PSF 2319 pengadu diberhentikan subsidi diesel, lesen vesel dan peralatan menangkap ikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika Mohd Anizal berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Bangunan Persekutuan, Kangar pada 13 Jun 2016, kira-kira 12 tengah hari.

Pertuduhan kedua, Khairul Paizi didakwa menerima suapan RM3,000 daripada Mohd Anizal di Taman Rekreasi Bukit Kubu, Kuala Perlis pada tarikh sama, kira-kira 1.55 tengah hari.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Terdahulu, dalam prosiding di mahkamah sama, Hizir mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Khairul Paizi menerima rasuah daripada Mohd Anizal di tempat, masa serta tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) akta sama.

Semua pertuduhan terhadap dua tertuduh memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia A Hafiizh Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

A Hafiizh menawarkan jaminan RM15,000 dan RM10,000 terhadap Khairul Paizi dan Hizir, masing-masing, namun mereka merayu dikurangkan dan dibenarkan hakim yang menetapkan jaminan RM10,000 dan RM7,000.

Mahkamah menetapkan 22 November depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 3:00 PM
Khairul Paizi (depan) dan Hizir (belakang) didakwa atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000. FOTO Azhar Ramli
Khairul Paizi (depan) dan Hizir (belakang) didakwa atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000. FOTO Azhar Ramli