Kaki kiri Mohamad Mazidul  tersepit pada rantai motosikal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kaki kiri Mohamad Mazidul tersepit pada rantai motosikal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Mohamad Zulhairie Manzaidi

"Dia tidak menangis kakinya tersepit sebaliknya tidak henti membaca surah al-Fatihah dan mengucap dua kalimah syahadah.

"Saya yang panik melihat dia terjatuh di atas jalan dan kaki kirinya tersepit celah tayar dekat rantai motosikal serta mengeluarkan darah yang banyak," kata Rabiatul Adawiyah Abd Razak, 27, ibu kepada Mohamad Mazidul Affiz Suzainal Afzan, 9, yang cedera di kaki kiri selepas tersepit di celah tayar berdekatan rantai motosikal dalam kejadian di Kampung Kiat, Bunut Susu, Pasir Mas, semalam.

Kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika kanak-kanak itu bersama adiknya, Mohd Rashidul Azim, 8, membonceng motosikal jenis Honda EX5 Dream yang ditunggang ibunya dari rumah mereka di Kampung Bechah Semak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Durian.

Rabiatul Adawiyah berkata, ketika kejadian, motosikal mereka hilang kawalan dan dia mengesyaki tayar pancit, namun sangkaannya meleset selepas melihat anak sulung daripada empat beradik itu terjatuh atas jalan dan kaki kirinya tersepit dekat rantai.

"Saya panik dan badan menggeletar, terus meminta pertolongan orang ramai sebelum menghubungi bekas suami, Suzainal Afzan Shukri, 30, untuk bantuan.

"Bekas suami datang terus membuka tayar motosikal untuk menarik kaki anak yang tersepit," katanya ketika ditemui di Wad Anggerik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) hari ini.

Menurutnya, mereka ke hospital untuk rawatan lanjut dan kaki kiri anaknya disahkan patah.

Katanya, anaknya menjalani pembedahan memasukkan besi, malam semalam.

Sementara itu, bekas adik iparnya, Suzainal Arif, 29, berkata, selepas kejadian, Rabiatul Adawiyah menghubungi abangnya yang berada di rumah.

"Abang bergegas ke tempat kejadian dan menghantar anaknya ke HRPZ II.

"Kami terkejut dengan kejadian itu, namun bersyukur kerana anak saudara selamat walaupun cedera di kaki," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah Durian, Bunut Susu, semalam.

Menurutnya, anak saudaranya menjalani pembedahan malam semalam.

Katanya, dia sekeluarga berharap anak saudaranya segera sembuh dan boleh berjalan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 7:34 PM