GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan


HANYA kerana kereta miliknya tercalar, seorang lelaki mengamuk dan memukul isterinya hingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima tiga jahitan di kepala dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Butterworth, semalam.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, wanita berusia 40 tahun itu dipukul di hadapan ibunya sendiri yang ketika itu turut cuba menghalang menantunya daripada terus membelasah mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa sebelum itu menggunakan kereta BMW suaminya, namun dia terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan ada kesan calar di kenderaan terbabit.

Menurutnya, pasangan terbabit bertengkar sebelum suspek secara tiba-tiba naik angin lalu menarik rambut dan memukul mangsa menggunakan tangan dan kayu.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut menghentak kepala mangsa ke dinding sebelum dia terus melarikan diri.

“Mangsa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan terpaksa menerima tiga jahitan di kepala selain turut lebam di mata serta tangan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kerana kesalahan memukul isterinya itu sebelum ini.

Katanya, setakat ini, pihaknya masih mengesan suspek berusia 42 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 4:43 PM