Nor Azura Abdul Jalil


SEORANG pengurus pembayaran dan pemprosesan sebuah syarikat telekomunikasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian bernilai hampir RM1.3 juta, dua tahun lalu.

Asmira Ariffin, 41, yang bekerja di Jabatan Pengutipan Wang syarikat telekomunikasi itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah masing-masing bernilai RM720,005 dan RM570,753 iaitu harta yang diamanahkan ke atasnya.

Sebagai pengurus jabatan, tertuduh mempunyai kawalan ke atas wang kutipan harian daripada cawangan syarikat telekomunikasi itu di sebuah pusat beli-belah, di mana dia gagal mendepositkan wang itu ke dalam akaun syarikat.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi, di sini antara 18 Ogos 2015 dan 21 April tahun ini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam LA Gomes yang mewakili Asmira memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya adalah seorang ibu tunggal dan menanggung lima anak yang masih bersekolah.

"Anak guam saya juga bersetuju sekiranya mahkamah ingin menetapkan syarat tambahan seperti penyerahan pasport," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:20 PM
Asmira Ariffin, 41, hadir ke makamah Sesyen 1 atas tuduhan pecah amanah wang syarikat hampir RM1.3 juta, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. FOTO Yusni Ariffin
Asmira Ariffin, 41, hadir ke makamah Sesyen 1 atas tuduhan pecah amanah wang syarikat hampir RM1.3 juta, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. FOTO Yusni Ariffin