TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Hafiz Sohaimi
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Hafiz Sohaimi
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS kakitangan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan salah guna wang berjumlah RM61,000 yang dibayar 18 individu untuk pembayaran denda, tiga tahun lalu.

Shahnaz Khan Kamarzaman, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-18, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai Pembantu Operasi di Unit Pendaftaran Mahkamah Sesyen & Majistret (Jenayah) dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM61,000.

Wang itu dibayar oleh 18 individu untuk pembayaran denda bagi kes tangkap tertuduh yang didakwa di mahkamah.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Sultan Abdul Halim, antara jam 10 pagi dan 4.30 petang, antara 16 Februari 2015 dan 3 Julai 2015.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Rashid Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam PG Cyril dan Farhan Read.

Terdahulu, Abdul Rashid menawarkan jaminan RM70,000 untuk kesemua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM dan pasport di serahkan kepada mahkamah.

Cyril bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kepada tertuduh atas alasan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selain menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.

“Segala harta dan akaun tertuduh dirampas dan dibekukan sejak 11 Januari 2016.

“Tertuduh kini berniaga sendiri dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:40 PM