ABDUL Jalil Hamid
ABDUL Jalil Hamid
Sofyan Rizal Ishak


Petaling Jaya: Pemaju hartanah tempatan digalak menyertai pameran hartanah MyRumah (MyRumah) anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) tahun depan bagi mencapai lebih ramai pembeli berpotensi bagi produk hartanah baru masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, syarikat juga berharap sokongan masyarakat yang membeli hartanah dan pemain pelabur industri bagi menjadikan NSTP sebagai peneraju media cetak bagi rundingan hartanah di negara ini.

“Penganjuran MyRumah buat tahun kedua ini bukti kepada kejayaan acara pameran ini di mana ia adalah pusat sehenti kepada orang ramai untuk bukan saja mendapatkan maklumat projek perumahan secara lebih lanjut malah perkhidmatan pembiayaan bagi memiliki kediaman impian yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing,” katanya pada pelancaran MyRumah siri keempat, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar, Ketua Pegawai Komersial NSTP Alfian Abu Talib dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Jayaselan Navaratnam.

MyRumah kembali menemui orang ramai bagi siri keempat dan terakhir tahun ini selepas penganjuran sebanyak tiga siri di Balai Berita Bangsar Mac lalu, Johor Bahru (Mei) dan Alor Setar (Ogos) di mana ia berjaya mencatatkan jualan 67 unit rumah dengan nilai RM30 juta dan menarik hampir 15,000 pengunjung.

Siri keempat MyRumah akan disertai 15 pemaju hartanah terkemuka negara dan syarikat bukan hartanah serta 23 penceramah hartanah dan 14 panel forum. Ia akan memberi peluang kepada bakal pembeli dan pelabur bertemu pakar dalam pelbagai disiplin hartanah bagi mendapatkan panduan dan pandangan mengenai pasaran hartanah tempatan.

MyRumah berlangsung di Centre Court, The Curve Mutiara Damansara bermula semalam hingga 8 Oktober ini dan ia dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:21 AM