MAHDZIR (tengah) melawat tapak pameran dari SKJC Jalan Davidson Kuala Lumpur iaitu projek Wheatgrass yang menghasilkan makanan untuk haiwan, semalam.
MAHDZIR (tengah) melawat tapak pameran dari SKJC Jalan Davidson Kuala Lumpur iaitu projek Wheatgrass yang menghasilkan makanan untuk haiwan, semalam.
Siti Salmiah A Hamid


Bangi: Pengetua dan guru besar mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman merotan pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah dan boleh menurunkan kuasa itu kepada mana-mana guru.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tanggungjawab itu diberikan kepada pengetua dan guru sekolah sejak awal tahun ini.

“Kuasa itu juga membolehkan pengetua mengarahkan mana-mana guru selain guru disiplin untuk melaksanakan hukuman merotan.

“Hukuman itu bagaimanapun tidak dibenarkan dilakukan di depan khalayak ramai ketika perhimpunan. Sebaik-baiknya dilaksanakan secara tertutup di dalam bilik,” katanya pada sidang media di Konvensyen Kebangsaan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) 2017 di Auditorium Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Katanya, hukuman merotan itu perlu mengikut garis panduan yang dikeluarkan kementerian dan bukan hukuman yang seperti dilakukan di penjara.

“Terdapat beberapa sekolah yang disenaraikan sebagai hotspot kerana berhadapan dengan masalah disiplin seperti penyalahgunaan dadah, buli dan gengsterisme.

“Pihak sekolah perlu menangani situasi itu dan mencari penyelesaian agar elemen nilai bangsa yang semakin merosot ini selari dengan kemajuan pendidikan digital yang akan datang,” katanya.

Hadir sama, Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Datuk Rashidah Md Arif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 6:01 AM