DR Radzi Jidin
DR Radzi Jidin
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan pihaknya mengeluarkan jadual berkaitan hukuman tindakan disiplin yang dilarang dilakukan kepada murid.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya juga tidak pernah membuat kenyataan berkaitan bentuk hukuman terhadap pelajar sekolah.

"Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan berkenaan. KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk 'Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang' dalam mana-mana dokumen rasmi kementerian.

"Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya," katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai bentuk hukuman yang dilarang dilakukan terhadap fizikal, mental dan emosi pelajar.

Bagi hukuman terhadap fizikal, antara yang disenaraikan ialah berdiri lama di tengah panas, lari keliling padang, berdiri lama di dalam atau luar bilik darjah, berdiri di atas kerusi atau meja, menarik rambut atau telinga, belasah dengan alat seperti tali pinggang atau pembaris serta cubit, ketuk ketampi dan junjung kerusi atau buku.

Hukuman terhadap mental dan emosi pula, turut disenaraikan ialah menggunting rambut, berleter, gantung tulisan di badan, memalukan di khalayak ramai, memaki hamun, kelas tahanan pada waktu rehat tidak menghiraukan murid.

Sementara itu, KPM dalam kenyataannya memaklumkan tindakan disiplin hanya boleh dikenakan mengikut tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh pihaknya.

"Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959; Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran; SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah.

"Selain itu adalah SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin; SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

"Sehubungan dengan itu, KPM menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 5:40 PM