PELARIAN Rohingya berjalan ke kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, semalam. fOTO Reuters
PELARIAN Rohingya berjalan ke kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, semalam. fOTO Reuters
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


MALAYSIA mengasingkan diri daripada kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai situasi kemanusiaan di Wilayah Rakhine yang dikeluarkan di New York, kelmarin kerana berpendapat ia memberi gambaran yang salah mengenai keadaan sebenar di wilayah itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, kenyataan itu tidak berdasarkan konsensus memandangkan Malaysia sudah menyatakan kebimbangannya berhubung isu itu tetapi kenyataan yang dikeluarkan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

"Kenyataan itu juga tidak menyatakan etnik Rohingya sebagai satu daripada komuniti yang terjejas.

"Walaupun Malaysia mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos yang dilancarkan kumpulan yang menggelar Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), operasi pembersihan berikutnya oleh pihak berkuasa Myanmar adalah tidak wajar kerana ia mengakibatkan kematian ramai orang awam yang tidak bersalah dan lebih 400,000 etnik lari meninggalkan negara itu.

"Malaysia melahirkan kebimbangan mengenai kekejaman yang mencetuskan krisis kemanusiaan berskala besar yang dunia tidak dapat mengabaikannya tetapi harus mengambil tindakan untuk menanganinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah berkata, Malaysia menggesa dengan sekeras-kerasnya kerajaan Myanmar untuk menamatkan keganasan, menghentikan kemusnahan kehidupan dan harta benda, membenarkan akses tanpa halangan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Rohingya dan semua komuniti yang terjejas serta menangani masalah pelarian Rohingya.

Katanya, penyelesaian jangka panjang yang berkekalan terhadap punca konflik itu harus dicari untuk membolehkan masyarakat Rohingya dan komuniti lain yang terjejas dapat membina semula kehidupan mereka.

"Kita juga menggesa Myanmar memenuhi komitmennya untuk segera melaksanakan cadangan-cadangan muktamad Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine.

"Malaysia sudah menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 Sept 2017 dan akan meneruskan penghantaran lebih banyak bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 10:12 AM