MASYARAKAT Rohinya menunjukkan gambar keadaan umat Islam di Arakan. FOTO Shahrizal Md Noor
MASYARAKAT Rohinya menunjukkan gambar keadaan umat Islam di Arakan. FOTO Shahrizal Md Noor
Aizat Sharif


PASUKAN pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dihantar segera ke wilayah bergolak di Rakhine, Myanmar dalam usaha mengekang keganasan serta siri pembunuhan berterusan yang berlaku kepada masyarakat etnik Rohingya di kawasan itu.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, tindakan segera ini diperlukan rentetan keganasan yang dilakukan oleh ekstrimis Buddha terhadap etnik Rohingya kebelakangan ini.

“Kita menggesa tindakan segera oleh negara ASEAN, Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan PBB untuk campur tangan dengan menempatkan tentera pengaman dalam usaha memulihkan semula keamanan di kawasan Maungdaw, Buthidaung dan Rathidaung di Wilayah Rakhine ini di mana hampir setiap hari banyak perkampungan Islam etnik Rohingya diserang dan dibakar manakala penghuninya juga dibunuh.

“Ini juga mengambil kira hak kemanusiaan yang sering dilaungkan di seluruh dunia dan kegagalan ketiga-tiga pertubuhan dunia terbabit memainkan peranan drastik akan memperlihatkan gabungan terbabit tidak mampu melindungi hak awam dan nyawa manusia sejagat” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Pendidikan Baitul Rahmah Rohingya Alor Setar, Masjid Halim Shah, Pantai Johor, Alor Setar, hari ini.

Tambahya, penghantaran pasukan pengaman perlu dilakukan dalam tempoh segera selepas siri keganasan terbaru yang berlaku di perkampungan Rohingya di wilayah bergolak itu.

"Myanmar sering menafikan kekejaman yang dilakukan oleh mereka dan cuba sembunyikan apa yang berlaku maka sudah tiba masanya, negara dalam ASEAN, OIC dan PBB bersuara malah mengambil tindakan fizikal bagi memastikan keamanan dan perlindungan dapat dilakukan," katanya.

“Malaysia dan Indonesia yang dilihat sebuah negara yang mempunyai kepemimpinan orang Islam perlu mengambil inisiatif dari aspek gencatan senjata dan perundingan.

"Dunia tidak sepatutnya bertoleransi lagi terhadap pembunuhan dan kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya yang sudah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun,” katanya.

Sehubungan itu, MAPIM bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kempen anti-keganasan dan pemerdagangan manusia terhadap etnik Rohingya akan berarak ke Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, 11 pagi esok untuk menghantar nota bantahan terhadap keganasan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 5:02 PM