Najib menyampaikan sijil penghargaan kepada Sakaran sambil disaksikan Jamil Khir (dua dari kiri) dan Asyraf Wajdi pada sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Najib menyampaikan sijil penghargaan kepada Sakaran sambil disaksikan Jamil Khir (dua dari kiri) dan Asyraf Wajdi pada sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Nasif Badruddin dan Rizanizam Abdul Hamid


YANG di-Pertua Negeri Sabah kelapan Tun Sakaran Dandai diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M hari ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menerima hadiah wang tunai RM100,000, medal serta sijil penghargaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pemilihan tokoh itu dibuat atas asas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf pelbagai pihak.

Sakaran dalam ucapannya melahirkan rasa terharu dan syukur apabila diberi penghormatan oleh kerajaan.

Katanya, perpaduan adalah kunci untuk menikmati kehidupan bermasyarakat seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW dalam menyatukan kaum Aus dan Khazraj ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Menurutnya, beliau berharap supaya rakyat Malaysia kekal bersatu padu dan negara terus makmur serta terhindar daripada sebarang ketidaktentuan dan perselisihan faham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 12:06 PM