Antara penagih yang ditahan AADK dalam Operasi Perdana di sekitar Perak Tengah. FOTO ihsan AADK
Antara penagih yang ditahan AADK dalam Operasi Perdana di sekitar Perak Tengah. FOTO ihsan AADK
Noor Hidayah Tanzizi


LULUH hati seorang ibu apabila anak yang dipertahankan kononnya tidak terjebak dalam aktiviti penyalahgunaan dadah didapati positif bahan itu dalam serbuan dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sebuah rumah di Changkat Lada dekat Seri Iskandar, tengah malam semalam.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, wanita terbabit bersama anak perempuannya berusaha mempertahankan lelaki berusia 21 tahun yang didakwa sentiasa berkelakuan baik serta tidak pernah menimbulkan sebarang masalah selain tidak menunjukkan tanda menagih.

Lelaki berkenaan antara 18 individu yang ditahan dalam Operasi Perdana yang mensasarkan sarang penagihan dadah di ladang sawit dan beberapa lokasi di sekitar Perak Tengah bermula 10 malam semalam.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan AADK Perak Ahmad Zaini Abd Hamid berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 62 tahun yang sebahagian mereka berkerja dalam sektor perladangan dan ada yang menganggur.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lima individu positif dadah methamphetamine manakala 13 lain jenis morfin.

"Ada keluarga didapati terlalu mempertahankan anak yang terbabit dalam aktiviti ini dengan menggunakan alasan mereka tidak mengganggu orang lain.

"Justeru itu, kita harap keluarga bekerjasama dengan AADK supaya pencegahan dapat dilakukan dan aktiviti ini dibasmi," katanya pada sidang media di Pejabat AADK Perak Tengah hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menemui sebuah ladang ketum di Sungai Badak.

Katanya, semua ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 6:27 PM