GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suzalina Halid


PENJAWAT awam dan remaja tidak bersekolah antara 21 individu disyaki penagih dadah yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melalui operasi di lapan kampung, semalam.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohammad Ramli berkata, penjawat awam yang masih berkhidmat berusia 40an itu ditahan di Kampung Pasir, dekat Yanmanakala ramaja nerusia 15 tahun berkenaan pula ditahan di tepi jalan utama Guar ke Yan.

Katanya, melalui operasi yang mengambil masa lebih 12 jam bermula lapan pagi dan disertai 10 anggota itu, semua 21 individu terbabit berusia antara 15 hingga 50 tahun ditahan ketika sedang melakukan kegiatan menghisap dadah.

"Anggota AADK juga menghadapi kesukaran ketika mahu menahan mereka apabila ada yang cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai namun akhirnya semua individu disyaki penagih itu berjaya kita tahan.

"Operasi ini kita adakan di kawasan yang sering menjadi sarang aktiviti penagihan dadah dengan kampung yang terbabit dalam operasi ini antaranya di Kampung Kuala Sedaka, Kampung Bukit Choras, Kampung Sungai Belida, Kampung Seri Perigi dan Kampung Teroi, " katanya melalui kenyataan di Yan.

Pada masa sama, Mohammad berkata kebanyakan yang ditahan bekerja kampung malah ada juga yang menganggur.

Mereka semua dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing, semua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine dengan sembilan individu direman di Lokap AADK Daerah Kuala Muda manakala 12 yang lain dibenarkan jamin.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 10:36 AM