MEOR Shahril (tiga dari  kiri)   bersama penaja   KL Tower International Jump 2017 di Menara KL, semalam.
MEOR Shahril (tiga dari kiri) bersama penaja KL Tower International Jump 2017 di Menara KL, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Menara Kuala Lumpur bakal mencatatkan empat rekod untuk disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sempena penganjuran KL Tower International Jump Malaysia (KLTIJM) yang ke-17.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar berkata, empat rekod itu meliputi platform tertinggi di dalam negara, penyertaan paling ramai bagi kategori terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth), terjunan tali yang pertama di Malaysia dan penganjuran berterusan paling lama di Malaysia.

“Perkara itu sudah dikenal pasti dan bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records tahun ini juga,” katanya pada sidang media di Menara Kuala Lumpur, semalam.

KLTIJM 2017 bakal berlangsung pada 29 September hingga 2 Oktober depan, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang manakala terjunan malam pada jam 8 hingga 10 malam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman @ Hussaini dan Ketua Eksekutif Pemasaran MAPS, Jeffrey Hanafiah.

Menurut Meor Shahril, KLTIJM 2017 turut menawarkan peluang kepada orang ramai untuk melihat pelbagai aksi terjunan BASE.

“Pakej Sitting on the Ledge membolehkan orang ramai melihat secara dekat aksi menggerunkan penerjun di ketinggian 300 meter dari paras bumi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 2:55 AM