HM Digital

Kuala Lumpur: Hari Terbuka Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-50 mendapat sambutan menggalakkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata, 6,000 pengunjung termasuk graduan dan pelajar dari institusi pengajian tinggi menghadiri Hari Terbuka MIDA yang menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan.

“Lebih kurang 57 syarikat mengambil bahagian menawarkan peluang pekerjaan dan kami memastikan syarikat ini membuat tindakan susulan bagi mereka yang menghadiri temu duga.

“MIDA juga menjalin kerjasama dengan QSR Brand, Yakult dan Coca-Cola untuk menawarkan 216 pekerjaan kepada golongan belia bagi kategori baru iaitu di bawah inisiatif Bakat CSR@MIDA,” katanya sempena perasmian Hari Terbuka MIDA di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Antara syarikat terkemuka yang mengambil bahagian termasuk NADI Malaysia, Petronas Chemical, CTRM, ViTrox, Infineon Technologies, Hoyati Electronics, Coca-Cola, Nestle, Yakult, QSR Brands, GDex, Nationwide Express dan Lazada.

Syarikat terbabit menawarkan peluang kerjaya dalam pelbagai bidang antaranya sektor aeroangkasa, bahan kimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, pengangkutan, makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik dan e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 5:33 AM
ANTARA graduan dan pelajar dari institusi pengajian tinggiyang hadir sempena Hari Terbuka MIDA 2017 yang menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan.
ANTARA graduan dan pelajar dari institusi pengajian tinggiyang hadir sempena Hari Terbuka MIDA 2017 yang menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan.