MUHAMMAD Hakimi Bakar,24, (tengah) bersama ibu Maziah Saad, 53, dan bapanya Bakar Ahmad, 60 membersihkan sisa kebakaran di rumahnya di Kampung Teluk Bagan, Tandop. FOTO Ihsan UUM
MUHAMMAD Hakimi Bakar,24, (tengah) bersama ibu Maziah Saad, 53, dan bapanya Bakar Ahmad, 60 membersihkan sisa kebakaran di rumahnya di Kampung Teluk Bagan, Tandop. FOTO Ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu yang harus ditempuhi penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila kediaman keluarganya terbakar di Kampung Teluk Bagan, Tandop di Alor Setar, Januari lalu.

Muhammad Hakimi Bakar, 24, bersama ibu bapa dan dua adiknya kini terpaksa tinggal di ruang sempit bahagian dapur rumah berikutan tidak mampu membina rumah baharu.

“Ayah saya hanya berkerja sebagai pesawah dengan pendapatan tidak menentu iaitu kira-kira RM800 sebulan, duit itu cukup untuk beli barang keperluan dan perbelanjaan kami adik beradik untuk belajar.

“Jika nak bina rumah baharu, ayah saya tak mampu. Sebelum ini kami menumpang di rumah ibu saudara selepas kejadian 26 Januari lalu, namun selepas dua minggu, saya sekeluarga membuat keputusan untuk tinggal di bahagian dapur rumah walaupun ruangnya agak sempit untuk kami sekeluarga,” kata penuntut tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan UUM.

Ibu Hakimi, Maziah Saad, 53, berkata, berikutan kebakaran itu, mereka sekeluarga menanggung kerugian kira-kira RM150,000.

Katanya, penduduk kampung membantu menghulurkan sumbangan peralatan dan barangan asas untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Bagaimanapun, Maziah mengharap sumbangan orang ramai supaya dapat segera membina semula rumah memandangkan Ramadan bakal tiba.

“Sekarang kami berteduh di bahagian dapur rumah, ruang inilah kami makan minum dan tidur lebih sebulan lalu.

“Sumber kewangan keluarga sangatlah terhad, memang kami tidak mampu nak bina rumah baharu. Saya berharap orang ramai dapat membantu keluarga saya supaya dapat membina semula semula rumah pusaka yang berusia lebih 50 tahun ini,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu, boleh menghubungi Maziah menerusi nombor 012-4831573 atau nombor akaun Bank Islam suaminya Bakar Ahmad (02105020273495).

Simpati dengan nasib menimpa, baru-baru ini sekumpulan sukarelawan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASUUM) terdiri daripada 60 pelajar UUM turun padang mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan rumah Muhammad Hakimi yang terbakar.

Ketua operasi, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya memberikan sumbangan tenaga bagi membersihkan sisa kemusnahan rumah Muhammad Hakimi dan turut berharap orang ramai dapat menghulurkan sumbangan supaya rumah keluarga itu dapat dibina semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:54 AM