Chua (sembilan dari kiri) bersama kru kapal MV Polaris selepas melancarkan kapal berkenaan di Jeti MATRAIN, semalam.
Chua (sembilan dari kiri) bersama kru kapal MV Polaris selepas melancarkan kapal berkenaan di Jeti MATRAIN, semalam.
Siraj Mohd Zaini


Pelabuhan Klang: Jabatan Laut Malaysia (JLM) menerima kapal pelbagai guna MV Polaris bernilai RM92 juta yang bakal digunakan bagi pelbagai tugasan di lautan, semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Baharin Datuk Abdul Hamid berkata, kapal yang direka khas Muhibbah Engineering (M) Bhd itu dilengkapi teknologi terkini dan mengambil masa 20 bulan untuk disiapkan sejak 15 Januari tahun lalu.

Menurut beliau, kapal MV Polaris berfungsi menjalankan latihan bagi pegawai dan anggota JLM selain menunda kapal dagang serta bantuan misi kecemasan pasukan keselamatan negara di lautan.

“Mengikut perancangan, kapal ini akan beroperasi di perairan Malaysia terutama Selat Melaka. Namun, ia boleh bertindak sebagai kapal penunda (ETV) bagi membantu kapal yang mengalami kecemasan sepanjang perairan itu

“Kapal berkelajuan 15 knot itu dilengkapi bilik kuliah dan mesyuarat, gimnasium, surau serta kabin,” katanya selepas majlis pelancaran kapal itu di Jeti Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN), di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Chua Kok Ching.

Chua berkata pembinaan MV Polaris itu menjadi bukti kepada negara luar Malaysia komited memastikan keselamatan pelayaran di perairan negara.

“JLM diminta meneruskan usaha itu bagi memastikan keselamatan kapal berlayar dan berdagang di negara ini terpelihara dan selamat.

“Saya berharap melalui kehadiran MV Polaris ini, kualiti perkhidmatan penyelenggaraan alat bantuan pelayaran dan keupayaan memberi perkhidmatan bantuan kecemasan lebih baik dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 5:49 AM