LAPORAN portal Harian Metro.
LAPORAN portal Harian Metro.
BERNAMA

KEJADIAN sebuah kapal Malaysia, Polaris bergesel dengan kapal pengangkut pukal Piraeus berdaftar di Greece hari ini berlaku di perairan Malaysia dan bukan Singapura, kata Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia Datuk Baharin Abdul Hamid.

Menjelaskan satu laporan berita mengenai insiden itu yang berlaku jam 2.28 petang itu, beliau berkata, Polaris bertugas memantau keselamatan kapal yang belayar di perairan sekitar pelabuhan Johor Bahru.

“Kejadian berlaku dalam kawasan perairan Pelabuhan Johor Bahru. Jadi tidak timbul soal mencerobohi perairan Singapura.

“Kami tugaskan Polaris untuk memantau keselamatan pelayaran dalam kawasan itu. Itu adalah pelabuhan kita (sebagai mewajarkan kehadiran Polaris),” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura dalam satu kenyataan malam ini mendakwa insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura dalam Garisan Sempadan Singapura berhampiran Tuas.

Republik itu juga menyatakan kekhuatiran kehadiran kapal yang tidak mendapat kebenaran di kawasan pelabuhan Singapura boleh mencetuskan kekeliruan kepada komuniti perkapalan antarabangsa dan mengancam keselamatan pelayaran di perairan mereka.

Ditanya mengenai nasib Polaris dan krunya, Baharin berkata, kesemua 23 kru dalam kapal itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kapal pun tak ada kerosakan serius, tak ada bocor yang boleh menyebabkan air masuk. Insiden itu juga tidak menyebabkan ancaman pencemaran,” katanya.

Ketika ini, katanya, pasukan penyiasat sudah dibentuk dan memulakan siasatan ke atas kedua-dua kapal.

“Mereka sudah berada di atas kedua-dua kapal, kita akan meninjau kapal itu untuk ditentukan kerosakan sebenar yang ada. Sebaik kita sudah nilai, baru ambil tindakan berikutnya,” katanya.

Baharin berkata, Polaris, sebuah kapal penyelenggara alat bantuan pelayaran pelbagai fungsi milik Jabatan Laut, kekal berada di lokasi, sementara Piraeus sudah belayar ke jeti Tanjung Bin menunggu surat izin belayar dari jabatan berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan mengesahkan kapal Greece dan kru kapal ditahan oleh Jabatan Laut untuk siasatan awal mengikut Seksyen 334(1) Ordinan Perkapalan Malaysia 1952.

Menjelaskan insiden itu, kementerian berkata, kapal Greece itu dilihat memasuki garisan sempadan pelabuhan Johor Bahru di perairan wilayah Malaysia pada jam 2.15 petang.

“Semasa berhubung dengan Polaris, Piraeus memberi respons ia akan mengelakkan Polaris. Walaupun komunikasi jelas dan arahan definitif yang diberikan, pergeseran berlaku pada pertembungan pertama sehingga kedua-dua kapal terpisah antara satu sama lain pada jam 2.36 petang,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, kejadian itu bagaimanapun, tidak mengganggu aliran trafik dan jauh dari kawasan Skim Pemisahan Trafik.

“Jabatan Laut menasihatkan kapal dalam garisan sempadan Pelabuhan Johor Bahru yang dikesan di Perairan Wilayah Malaysia agar berhati-hati untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini di perairan berkenaan,” katanya.

Kementerian juga melahirkan komitmen mereka untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memelihara integriti, kepentingan dan pelayaran selamat semua kapal di wilayah Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 12:06 AM