Nur Saliza. FOTO  GHAZALI KORI
Nur Saliza. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


GRADUAN yatim piatu tidak dapat menahan kesedihan kerana impiannya menghadiri majlis konvokesyen bersama ayahnya tidak kesampaian selepas insan istimewa itu meninggal pada Disember tahun lalu.

Penerima Anugerah Khas Ketua Jabatan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kuala Terengganu (PKT) ke-16, Nur Saliza Awang Besar, 25, berkata, arwah bapanya, Awang Besar Muhamad sentiasa bersamanya sejak kematian ibunya, Saadiah Mohamad tujuh tahun lalu kerana angin ahmar.

"Sejak arwah ibu tiada, saya tinggal bersama ayah dan dia yang menemani saya ketika mendaftar di PKT pada Disember 2013 dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi.

"Saya ingatkan arwah ayah sempat menemani saya untuk majlis hari ini tetapi Allah lebih menyayanginya apabila dia dijemput Ilahi pada Disember tahun lalu akibat penyakit gout dan komplikasi buah pinggang.

"Memang sebak kerana tidak dapat berkongsi kejayaan ini bersama mereka tetapi saya tahu mereka pasti gembira dengan kejayaan ini.

"Saya juga bersyukur kerana adik-beradik yang lain sentiasa berada di sisi saya selepas kematian ibu bapa walaupun mereka mempunyai tanggungjawab dan kehidupan masing-masing," kata anak bongsu daripada 11 beradik.

Majlis konvokesyen itu disempurnakan Naib Pengerusi Eksekutif Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd, Abdul Rahman Ali.

Pada majlis yang diadakan Primula Beach Hotel itu, seramai 199 orang menerima diploma masing-masing dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 5:39 PM