Sebahagian daripada 11 kanak-kanak Rohingya yang terbabit kemalangan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Sebahagian daripada 11 kanak-kanak Rohingya yang terbabit kemalangan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


LIMA cedera termasuk tiga kanak-kanak Rohingya selepas van dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kampung Gunung Keriang, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, seramai 11 kanak-kanak warga Rohingya menaiki van yang dipercayai dalam perjalanan ke sebuah pusat tahfiz di Pantai Johor dekat Alor Setar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Abd Hadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi.

Beliau berkata, operasi disertai 10 anggota termasuk dua Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Saga, Mitsubishi dan sebuah van yang membawa 11 kanak-kanak Rohingya iaitu empat lelaki dan tujuh perempuan.

"Lima mangsa iaitu tiga kanak-kanak dan dua lelaki dewasa iaitu pemandu van dan Proton Saga dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang lain turut dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

"Operasi tamat pada 10.44 pagi, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 4:02 PM