Hasimah  (kanan) menemani anaknya Mimi  (dua kiri) menunggu di tepi pantai  di Kuala Dungun.
Hasimah (kanan) menemani anaknya Mimi (dua kiri) menunggu di tepi pantai di Kuala Dungun.
Rosli Ilham


Dungun: Bantal tiga nelayan yang masih hilang dalam tragedi bot terbalik di Kuala Dungun pada Rabu lalu diserahkan kepada pengamal perubatan tradisional sebagai ikhtiar agar mereka dijumpai.

Hasimah Ismail, 56, berkata, dia terpaksa akur dengan permintaan seorang pengamal perubatan tradisional yang ingin membantu agar menantunya, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, serta dua rakan nelayannya, Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, dan Abdul Wahab Zakaria, 44, ditemui segera.

Menurutnya, pengamal perubatan tradisional berkenaan ada berjumpa dengannya dan keluarga dua lagi mangsa untuk meminta izin sebagai ikhtiar mencari mereka yang masih hilang itu.

Katanya, pengamal perubatan berkenaan kemudian minta bantal ketiga-tiga mangsa untuk dibuang ke laut sebagai kaedah mengesan mereka.

“Dia (pengamal perubatan tradisional) mahukan bantal yang digunakan menantu untuk tidur, saya kata rumah kami jauh di Besut adalah lebih baik ambilkan bantal tidur mereka di atas botnya.

“Bantal menantu dan dua lagi rakannya itu kemudian diambil di atas bot sebelum dibaca dengan ayat suci al-Quran lalu dibuang ke laut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, empat nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak ketika masuk ke muara kuala terbabit.

Seorang daripada mereka, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui lemas pada pagi Jumaat lalu manakala adiknya, Mohd Shazrin, 33, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:38 AM