MOHD Najib (kiri) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
MOHD Najib (kiri) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani


KONTRAKTOR didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan pilihan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kerja membaik pulih kediaman mangsa ribut pada 2014.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menjatuhkan hukuman denda terbabit selepas menerima pengakuan salah Mohd Najib Atan, 60.

Jika gagal membayar denda itu, Mohd Najib boleh dipenjara enam bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, Najib dengan curang menggunakan Borang Inden kerja palsu atas nama Ismail Nasir bagi membaikpulih kediaman bernilai RM20,000 itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Daerah Segamat di Kilometer 5, Jalan Genuang Segamat pada 10 Disember 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Syarina Raizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 12:22 PM