FOTO Hamzah Osman
FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal memiliki sebuah pusat latihan lengkap bertaraf antarabangsa sebaik kerja menaik taraf MyAngkasa Akademi & Resort (MAAR) di Langkawi siap sepenuhnya pada 2019.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kos keseluruhan projek naik taraf itu RM15 juta termasuk kerja membina blok bangunan baharu dengan tambahan 100 bilik penginapan.

"Kerja menaik taraf di atas tapak seluas satu hektar akan bermula akhir tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun sebelum kami memulakan tawaran kursus dalam bidang perhotelan dan spa.

"Bagaimanapun, kelulusan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran perlu bagi membolehkan MAAR menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada pelajar yang layak," katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Raya di MAAR di sini, malam semalam.

Abdul Fattah berkata, pihaknya juga bercadang menawarkan kursus itu kepada pelajar antarabangsa, khususnya negara sekitar ASEAN seiring dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi Koperasi ASEAN.

"MAAR berasal daripada sebuah resort yang dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta sebelum dibeli oleh ANGKASA pada 2010 dan dinaik taraf sebagai akademi latihan dengan memiliki 50 bilik penginapan.

"Kini MAAR wajar melangkah lebih jauh menjadi pusat latihan lengkap dengan menawarkan kursus SKM bukan sahaja kepada lepasan sekolah dalam negara, malah menjangkau antarabangsa," katanya.

Pada masa sama, Abdul Fattah berkata, pihaknya yakin usaha menaik taraf itu akan memberi keyakinan baharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menjadikan MAAR sebagai tempat penginapan pilihan ketika mereka bercuti di Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 1:59 PM