Petaling Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) optimis sektor koperasi mampu menyumbangkan RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun lagi.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai dengan adanya insentif positif yang dilakukan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sekiranya terbabit dengan perniagaan berimpak tinggi.

Menurutnya, perniagaan berimpak tinggi merangkumi pembabitan dalam bidang hartanah menerusi sektor perumahan dan rumah kedai, peruncit serta pemborong untuk rangkaian nilai.

“Selain itu, kira-kira 30 koperasi di negara ini mempunyai 3,000 ekar tanah yang boleh dibangunkan untuk sektor perumahan kos rendah yang berharga RM150,000 ke bawah kepada ahli.

“Buat masa terdekat, kita akan membangunkan satu kawasan di Putrajaya dalam tempoh beberapa bulan lagi,” katanya selepas melancarkan ACOTV, laman web ACO serta laman web Pameran Perdagangan, Persidangan dan Pemadanan Perniagaan Organisasi Koperasi ASEAN 2015 (ACOTEX 2015).

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, ACOTEX 2015 itu bakal berlangsung selama empat hari bermula 15 Oktober ini yang mengumpulkan koperasi dan rakan kongsi industri terbaik dari Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 7:00 AM