SABRI keluar mencari barang lusuh untuk dijual bagi menyara ibunya yang mempunyai masalah saraf di Pokok Sena, Tasek Gelugor.
SABRI keluar mencari barang lusuh untuk dijual bagi menyara ibunya yang mempunyai masalah saraf di Pokok Sena, Tasek Gelugor.
Zulfa Mohamad

Tasek Gelugor: “Ketika orang lain nyenyak tidur, saya keluar jam 2 pagi untuk mencari barang lusuh bagi menyara keluarga termasuk ibu yang mempunyai masalah saraf,” kata Sabri Sab, 55.

Sabri dari Pokok Sena, dekat sini, berkata, sepanjang Ramadan, dia keluar tiga kali untuk mencari barang lusuh iaitu pada pagi, petang dan awal pagi dengan pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

“Jam 2 pagi orang sedang nyenyak tidur tapi saya keluar cari barang lusuh dalam tong sampah kerana itu saja saya mampu lakukan untuk menyara keluarga dengan dua anak masih belajar serta ibu, Tipah Jalil, 77, yang mempunyai masalah saraf, tekanan darah tinggi, darah rendah serta asma.

“Ibu pula hanya bergantung pada bantuan warga emas RM100 setahun menyebabkan saya perlu menanggung kos perubatannya sekitar RM300 hingga RM400 sebulan,” katanya di sini, semalam.

Tipah yang juga ibu tunggal menghuni rumah atas tapak rizab kerajaan kira-kira 10 tahun lalu dan sebahagian kayu rumahnya reput dimakan anai-anai.

Menurut Sabri, ibunya perlu berulang-alik ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan dan ada kalanya terpaksa dimasukkan ke wad beberapa hari.

“Kadangkala ketika mencari barang, saya terpaksa balik untuk menghantarnya ke hospital kerana dia diserang penat.

“Pada masa sama, dia juga perlu menjaga dua cucu iaitu anak kepada adik saya berusia lapan dan 12 tahun yang masih bersekolah sedangkan tidak mempunyai sumber pendapatan,” katanya.

Sabri berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Zakat Pulau Pinang untuk ibunya sebelum ini tetapi gagal.

“Jika dia mendapat bantuan, secara tidak langsung akan meringankan beban kerana perlu menyara dua anak masih bersekolah berusia 15 dan 20 tahun sedangkan Aidilfitri hanya beberapa hari lagi,” katanya yang boleh dihubungi di 0174543797.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:32 AM